fbpx

Apakah Yang Dimaksudkan sebagai Harta Pusaka?

Definisi Harta Pusaka Dari Sudut Syariah

Pusaka atau al-mirath dari segi bahasa pada makna al-masdar (المصدر) bermaksud al-baqa’ (البقاء) iaitu kekal dan perpindahan sesuatu daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Al-mirath pada makna ism maf’ul (اسم المفعول) pula bermaksud asal atau baki . Dari segi istilah pula pusaka bermaksud sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta benda dan hak-hak yang akan diwarisi oleh ahli-ahli waris disebabkab kematian pewaris .

Ada pendapat yang lain menyatakan bahawa pusaka atau al-mirath pada istilah ialah perpindahan pemilikan daripada si mati kepada para warisnya yang masih hidup, sama ada yang ditinggalkan itu berbentuk harta yang boleh dipindah, harta yang tidak boleh dipindah, ataupun sesuatu hak yang ditetapkan oleh syarak (seperti hak khiyar dalam jual beli, hak syuf’ah, dan hak qisas).

Menurut istilah ilmu faraid, harta pusaka juga dikenali sebagai al-tarikah. Dari segi bahasa, al-tarikah bermaksud segala apa yang ditinggalkan atau dibiarkan oleh si mati . Manakala definisi al-tarikah dari segi istilah syarak pula berlaku perselisihan dalam menentukan maknanya. Perselisihan tersebut dapat dilihat seperti berikut iaitu menurut jumhur fuqaha’ mendefinisikan al-tarikah ialah segala sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati termasuklah harta benda, hak-hak kebendaan dan hak-hak yang mempunyai unsur kebendaan ke atas hak-hak persendirian. Kesemuanya ini akan diwarisi sama ada oleh waris atau bukan waris .

Definisi Harta Pusaka Mengikut Kaedah Sivil

Definisi Harta Pusaka menurut undang-undang sivil pula adalah seperti berikut:

Menurut kamus Osborn’s Concise Law Dictionary telah menyatakan bahawa definisi harta pusaka ialah “Harta yang mana telah diperturunkan atau diwariskan daripada seseorang kepada pewarisnya.”

Menurut Elizabeth A. Martin di dalam kamusnya A Dictionary of Law definisi harta pusaka ialah

“Penyerahan harta oleh pemunya harta ketika sampai ajalnya kepada pewarisnya. Tatkala waktu itu, pemilik harta melengkapkan wasiatnya atau mengikut peraturan yang berkaitan dengan pusaka tanpa wasiat untuk ditadbirkan.”

Menurut seksyen 2 Akta Probet dan Pentadbiran 1959 di dalam tafsirannya telah mendefinisikan “harta” bermaksud meliputi sesuatu benda dalam tindakan dan apa-apa kepentingan dalam harta alih dan harta tak alih.

Manakala maksud “harta pusaka” menurut seksyen berkenaan beerti semua harta yang jika seseorang mati tak berwasiat akan terletak hak pada Hakim Besar. Menurut pendapat Jeremy Bentham di dalam sesebuah bukunya telah mengatakan bahawa harta pusaka ialah “Harta seseorang setelah matinya yang mesti dibahagikan mengikut tiga perkara berdasarkan undang-undang Perancis iaitu penghidupan anggota baru, menjauhkan diri putus harapan, dan mendekatkan diri kepada persamaan dalam harta.”

Oleh Yang Demikian Harta Pusaka Boleh Dikenalpasti Seperti Berikut

Harta Pusaka termasuklan:

  • Semua harta yang ditinggalkan oleh si mati yang diperolehi semasa hayatnya secara halal seperti melalui jual beli, mendapat pusaka, melalui hibah, hadiah, sedekah dan melalui wasiat.
  • Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati.
  • Hutang kepada si mati yang di jelaskan selepas kematian.
  • Dividen /faedah yang terbit daripada harta si mati.
  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
  • Barang yang terbit selepas mati seseorang dari usaha si mati semasa hayatnya.

Harta Pusaka tidak termasuk :

  • Harta yang telah diberi, dijual, diwakafkan dan yang dipegang amanah oleh si mati kepada seseorang semasa hayatnya.
  • Khairat kematian.
  • Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian.
  • Faedah kematian /amaun tambahan KWSP.
  • Imbuhan, pampasan dan sagu hati.
  • Pencen.
  • Bayaran – bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial pekerja 1969 Perkeso.
  • Harta yang dipinjam

 

Di harapkan nukilan ini dapat menjelaskan sebarang kekeliruan berkenaan apa itu yang dikatakan sebagai harta pusaka.

Biografi Pengarang

Norhasniza_Norruhadi-removebg-preview
Haniza Hadi

Haniza Hadi

Memiliki Ijazah sarjana Muda dalam Perakaunan dari UKM, Bangi Selangor pada tahun 2003 dan Master Perakaunan di UITM Shah Alam pada tahun 2008. Pengalaman dalam bidang perbankan selama 5 tahun dalam analisa pasaran serta penyediaan penyata kewangan dan antaranya berkhidmat di Johnson - Petaling Jaya dan kemudiannya menceburi bidang hartanah pada tahun 2014 di Vivahomes Realty. Di sinilah bermula pengalaman dan ilmu yang ingin beliau kongsikan bersama masyarakat berkenaan hartanah dan isu berkaitan harta pusaka.

Jika anda dapati nukilan saya ini bermanafaat kepada semua, harap kongsikan bersama. Jazakallahu khair.

Scroll to Top